˄

20.09.2019
6 BELIA NEGARA BERLEPAS KE MALAYSIA



BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Enam orang belia Negara Brunei Darussalam yang berumur 30 tahun ke bawah telah berlepas ke Kuala Lumpur, Malaysia pada hari ini bagi menyertai Program Eksplorasi Dakwah Belia MABIMS yang akan berlangsung sehingga 24 September, di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor, Malaysia.

 

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar ialah Ketua Bahagian Antarabangsa dan MABIMS, Haji Mohammad Albi bin Haji Ibrahim serta pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

 

Peserta negara terdiri daripada Pegawai Pelajaran di Sekolah Ugama Merangking, Mukim Labi, Daerah Belait, Haji Mohd Ezwan bin Haji Ali selaku ketua rombongan, Pegawai Pelajaran di Sekolah Arab Temburong, Haji Muhammad Asri bin Haji Timbang, tiga orang belia daripada Kumpulan Belia Da’ie dan Kumpulan Belia Masjid iaitu Awang Mohd Firas bin Kalong @ Ibrahim, Awang Ahmad Luqman bin Haji Mohammad dan Awang Muhammad Saiful Dafi @ Suanddy bin Muhammad Suhaimi serta seorang mahasiswa Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Awangku Muhammad Ridhauddin bin Pengiran Mohd Amin.

 

Program di bawah bidang kerjasama MABIMS iaitu ‘Membangun Potensi Belia’ itu pertama kali diadakan dengan Malaysia selaku negara penganjur.

 

Penganjurannya bertujuan untuk membangunkan potensi belia MABIMS dalam aspek kepimpinan, komunikasi dan dakwah yang mampu meningkatkan hubungan interpersonal dan intrapersonal dalam kalangan pemimpin belia melalui pendekatan secara santai dan ilmiah bertepatan dengan konsep rahmatan lil ‘alamiin. 

Ia merupakan program berkumpulan yang disertai oleh belia-belia dari empat buah negara anggota MABIMS iaitu Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura.

 

Di samping itu, program berkenaan juga adalah untuk mempertingkatkan lagi perancangan dan penyelenggaraan program-program belia di peringkat MABIMS melalui memperteguh silaturahim dan jalinan kerja (networking) antara pemimpin belia MABIMS.

 

Haji Mohd Ezwan semasa ditemui Media Permata mengongsikan antara lain tujuan mengikuti program tersebut ialah bagi melatih diri para peserta dakwah belia MABIMS untuk mempertahankan diri mereka semasa membuat pengucapan umum, merasa yakin dan tidak gentar dalam menghadapi orang ramai berdasarkan agama Islam, berdakwah menuju Islam, dan kemudiannya mendekatkan orang ramai kepada agama Islam.

 

Beliau juga menyatakan bahawa para peserta dipilih oleh pihak MABIMS berdasarkan kriteria-kriteria tertentu.

“Antaranya adalah cemerlang dalam aktiviti-aktiviti belia sepanjang tahun di masjid-masjid dan juga sumbangan-sumbangan yang mereka buat kepada orang ramai yang berkaitan dengan keagamaan,” kongsinya.

 

Beliau berharap agar sepanjang eksplorasi dakwah dijalankan, semua peserta akan dapat menerapkan ilmu yang dikongsi sepanjang program dan digunakan sebagai satu tunjang untuk menyebarkan dakwah Islam.

 

Petikan dari Media Pertama, Jumaat, 20 September 2019.

Manage PermissionsManage Permissions
Attachments