˄

14.10.2021
MESYUARAT JAWATANKUASA TEKNIKAL SEKRETARIAT MABIMS SECARA DALAM TALIAN TAHUN 2021



Negara Brunei Darussalam selaku Negara Penghubung Tetap MABIMS telahpun mengadakan satu Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Sekretariat MABIMS Secara Dalam Talian Tahun 2021 pada 7 Rabiulawal 1443 bersamaan 14 Oktober 2021.


Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama selaku Ketua SOM Negara Penghubung Tetap MABIMS dan dihadiri oleh Ketua-Ketua SOM beserta delegasi daripada Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura.


Selaku Negara Penghubung Tetap bagi MABIMS, Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Hal Ehwal Ugama bertanggungjawab mengadakan mesyuarat-mesyuarat teknikal MABIMS serta menyelaras keputusan-keputusan dan apa jua perancangan yang diputuskan di Mesyuarat SOM dan Pertemuan MABIMS yang lalu. Pada kali ini Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Sekretariat MABIMS akan membincangkan beberapa perkara yang substantif sebagai persiapan mesyuarat diperingkat SOM dan Menteri-Menteri MABIMS yang dijangka diadakan pada penghujung tahun 2021 ini.

 

MABIMS merupakan satu Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama; Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura. Ia merupakan suatu bentuk kesepakatan serantau yang bergerak atas dasar keagamaan bagi menjaga maslahat dan kepentingan umat Islam tanpa mencampuri hal-hal yang bersifat politik negara-negara anggota. Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Sekretariat MABIMS dihasratkan untuk mencapai sasaran dan matlamatnya melalui percambahan fikiran, perkongsian pengalaman dan maklumat bersama delegasi serta mencari jalan ke hadapan bagi memperkasakan MABIMS melalui semangat kerjasama dan permuafakatan negara-negara anggota MABIMS terutama sekali dalam mendepani cabaran-cabaran semasa pandemik Covid-19 ketika ini. 


Manage PermissionsManage Permissions
Attachments