Yang Berhormat Senator Datuk Dr. Haji
Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri, adalah Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal
Ehwal Agama). Beliau adalah Mufti Wilayah Persekutuan dari 23 Jun 2014 hingga 9
Mac 2020. Beliau dilahirkan di Kampung Gong Pauh, Kemaman, Terengganu pada 16 Januari 1969 dan bersekolah
di Sekolah Kebangsaan Rengas Bekah, Kuala Terengganu (1976-1981). Kemudian
beliau menyambung pelajarannya di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (SMASZA), Ladang, Kuala Terengganu (1982-1984) sebelum meneruskan
pengajiannya dalam peringkat Thanawi di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan
Zainal Abidin
(SMAASZA), Batu Buruk, Kuala Terengganu (1985-1988). Seterusnya, Datuk Dr. Haji
Zulkifli menyambung pula pengajiannya di peringkat Sarjana Muda Syariah di Universiti Islam Madinah (1989-1993).
Tidak hanya berhenti setakat itu, beliau
menyambung pula pengajiannya di peringkat Sarjana Syariah di Universiti al-Ulum
al-Islamiah wa al-Arabiah di Damsyik, Syria (1994-1997) di bawah seliaan Syeikh Prof. Dr. Mustafa
al-Khin. Pengajian peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) pula diambil di Pusat
Pengajian Ilmu Kemanusiaan (School of Humanities), Universiti Sains Malaysia (2002-2004) di bawah seliaan Prof. Dr. Radzi Othman. Tajuk kajiannya
adalah Institusi Mufti Dan Fatwa: Satu Analisa Terhadap Enakmen Dan Beberapa
Fatwa Pilihan Negeri Sembilan. Beliau juga adalah pengasas kepada Pondok Moden
al-'Abaqirah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, dan sebuah institusi
hadith baru iaitu Ma'alim al-Sunan li Dirasati al-Sunnah al-Nabawiyyah, Majlis
Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Sumber:
https://en.wikipedia.org/wiki/Zulkifli_Mohamad_Al-Bakri
https://ms.wikipedia.org/wiki/Zulkifli_Mohamad_Al-Bakri